Friday 6 May 2011

Anggota tentera 'sawan' kena cekup

Anggota tentera 'sawan' kena cekup

KUANTAN 14 Feb. - Seorang anggota tentera sanggup 'berlakon' diserang sawan hingga keluar air liur ketika dicekup berkhalwat dengan isteri orang dalam Ops Valentine oleh Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) di sebuah hotel di sini awal pagi ini.
Dalam serbuan kira-kira pukul 6 pagi itu, anggota tentera berusia 28 tahun itu ditemui terbaring dan menggelupur di atas lantai seperti terkena sawan sebaik pintu bilik hotel yang disewa bersama seorang wanita diumpil polis.
Ketua Pegawai Penguat Kuasa Agama JAIP, Ahmad Rafflie Ab. Malik berkata, ketika serbuan, pasangan kekasih itu enggan bekerjasama membuka pintu bilik.
Selepas hampir sejam pintu diketuk, kata beliau, JAIP terpaksa meminta bantuan polis untuk mengopak pintu bilik berkenaan.
''Setelah mencuba beberapa kali, akhirnya polis berjaya mengopak pintu terbabit dengan menggunakan beberapa peralatan termasuk kuku kambing," katanya kepada pemberita ketika ditemui di pejabatnya di sini hari ini.
Menurut Ahmad Rafflie, tindakan lelaki terbabit yang berlakon seperti diserang sawan bertujuan mengaburi mata pihak berkuasa, manakala pasangannya yang berumur 30 tahun, menyorok di bawah katil sambil menangis.
Ahmad Rafflie memberitahu, siasatan awal mendapati pasangan khalwat itu masing-masing masih mempunyai isteri dan suami.
Sementara itu, ketika di pejabat JAIP, difahamkan suami wanita terbabit mengamuk dan menerajang isterinya berikutan kejadian khalwat itu.
Terdahulu dalam serbuan tiga jam bermula pukul 6 pagi di beberapa hotel di sini, Ahmad Rafflie memberitahu, sebanyak 46 tangkapan dilakukan melibatkan khalwat, minum arak dan mendedahkan anggota tubuh di khalayak dalam operasi melibatkan 44 pegawai penguat kuasa JAIP.
Menurutnya, kebanyakan yang ditangkap berumur antara 16 dan 40 tahun.
Tambahnya, semua yang ditahan berkhalwat akan didakwa mengikut Seksyen 145(1) dan (2) Enakmen Pentadbiran Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang 1982 (pindaan 1987) dan sabit kesalahan boleh didenda RM1,000 atau enam bulan penjara atau kedua-duanya sekali.
TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:

1 comment: