Friday 6 May 2011

Khalwat? Fitnah...! - Zamzarina

Khalwat? Fitnah...! - Zamzarina


NORHAYATI Ismail (dari kiri) bersama Zamzarina, Ibrahim Seman dan Norhafizah Abdul Rahman pada majlis pengumuman penaja program Apa Kata Wanita di Angkasapuri, baru-baru ini.


BENARLAH kata orang, menjadi orang popular tidak semudah yang disangka dan lebih sukar lagi apabila kita menjadi terlalu popular. Ke mana sahaja kita pergi, kita menjadi perhatian ratusan mata yang memandang dengan pelbagai tafsiran yang kadang-kadang tidak terjangkau oleh fikiran.
Dan apabila populariti mengatasi segala-galanya, bukan sahaja pergerakan menjadi terbatas malah kadangkala tugas juga menjadi perhatian.
Begitulah yang dialami oleh hos program Apa Kata Wanita, Zamzarina Zambri.
Sejak menjadi pengacara program berkenaan, Zamzarina bukan sahaja menjadi popular malah hubungan baiknya dengan Ketua Setiausaha Kementerian Penerangan, Datuk Kamaruddin Siaraf juga disalah anggap hingga menimbulkan khabar angin kononnya mereka ditangkap khalwat pada awal Mac lalu.
Walaupun khabar angin itu membuat ramai yang percaya, namun bagi Zamzarina ia sedikitpun tidak menjejaskan tugas, kerjaya dan rumah tangganya.
“Saya masih kuat dan tetap meneruskan kerja di sini (RTM) seperti biasa. Apa yang hendak saya takutkan, saya tidak perlu ‘melarikan diri’ ke tempat lain.
“Semua itu fitnah dan biarlah polis jalankan siasatan,” katanya saat diajukan persoalan mengenai isu khalwat ketika ditemui pada majlis pengumuman Daily Fresh sebagai penaja Apa Kata Wanita Bersama Zamzarina di Angkasapuri, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Turut hadir ialah Timbalan Ketua Pengarah Penyiaran, Datuk Norhayati Ismail, Penerbit Apa Kata Wanita Bersama Zamzarina, Ibrahim Seman dan Pengurus Perkhidmatan Francais Daily Fresh, Norhafizah Abdul Rahman.
Pada awalnya, Zamzarina enggan melayan dakwaan itu tetapi selepas ia dibangkitkan pembangkang di Parlimen, dirinya tampil bersuara untuk membersihkan nama.
Menurut Zamzarina, fitnah yang melandanya sedikitpun tidak menjejaskan tugas hakikinya di RTM selaku Penerbit Rancangan, Wartawan Penyiaran dan Ketua Meja Wanita di Bilik Berita.
Sambil menafikan terlibat dalam dakwaan berkenaan, wanita berusia 36 tahun ini bersyukur kerana keluarga terutama suami, Adnan Derahman mempercayai dan memberikannya sokongan untuk terus berkhidmat di RTM.
“Suami percaya saya. Lagipun, ketika isu itu (tangkap khalwat) kecoh, saya berada di London.
“Saya ke London kerana menjalankan tugas sempena promosi produk kraftangan Malaysia oleh Kementerian Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan.
“Dakwaan ini sememangnya mencemarkan nama saya dan polis pun sudah memulakan siasatan,” ujarnya.
Pada 7 Mac lalu, Kamaruddin dan Zamzarina telah membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfield berkenaan dakwaan khalwat membabitkan mereka berdua.
Meskipun berhadapan dengan fitnah tersebut, bagi Zamzarina ia bukanlah menjadi satu ‘momokan’ untuk berhenti bertugas di RTM.
“Kerja berjalan seperti biasa. Beliau (Datuk Kamaruddin) pun bertugas seperti biasa.
“Apa yang hendak ditakutkan, saya tak bersalah. Sudah lapan tahun saya di RTM dan fokus kerja saya sekarang ini adalah di Meja Wanita,’’ katanya.
Ditanya sejauh mana dirinya rapat dengan Kamaruddin, Zamzarina berkata, hubungan mereka terjalin secara profesional.
“Sebenarnya, saya terlibat dengan satu jawatankuasa yang bertindak sebagai memberi maklum balas tentang segala pembaharuan yang dilakukan di RTM.
“Sebagai kakitangan RTM, adalah menjadi tugas saya untuk melaporkan kepada beliau apa jua maklum balas yang diterima khususnya daripada penonton RTM.
“Disebabkan selalu berurusan, mungkin ada yang salah faham. Mungkin juga ada yang tidak suka dengan perubahan-perubahan yang dilakukan di RTM atas syor yang kami berikan,’’ tegasnya.
Kepada soalan tentang dirinya yang dikatakan tidak boleh ditegur atau ‘disentuh’ gara-gara rapat dengan Kamaruddin, Zamzarina menafikan hal tersebut sekeras-kerasnya.
Hos Apa Kata Wanita Bersama Zamzarina
Sementara itu, diajak berbicara tentang Apa Kata Wanita Bersama Zamzarina, ibu kepada tiga orang anak ini berkata, program yang disiarkan secara langsung dari Studio 1, Wisma TV, Angkasapuri pada setiap Jumaat, pukul 9.30 malam, telah memulakan siaran edisi sulung pada 2 Januari lalu.
Jelasnya, ia merupakan salah satu agenda wajah baru program terbitan RTM di samping beberapa lagi program lain.
Apa yang menarik, katanya, program tersebut telah mendapat penajaan daripada Daily Fresh Food Sdn. Bhd., sebuah syarikat francais yang menghasilkan produk makanan seperti sweet cup corn, jus dan wafer serta aiskrim.
Berkonsepkan bual bicara santai, rancangan itu menampilkan tokoh-tokoh wanita berjaya dalam pelbagai bidang sebagai tetamu jemputan pada setiap minggu.
Rencah kehidupan berkeluarga juga turut dimuatkan di samping membawa pakar berkaitan menjawab setiap dilema berhubung peranan wanita dalam kerjaya dan rumah tangga.
Sempena dengan pengumuman Daily Fresh selaku penaja Apa Kata Wanita Bersama Zamzarina, syarikat francais itu bersama RTM menganjurkan kuiz Daily Fresh & You `Go Lucky’ 2009 yang bermula pada 1 April hingga 31 Julai ini.
Hadiah utama berupa kereta Perodua Viva menanti penonton setia rancangan tersebut.

1 comment:

  1. This Is Really Great Work. Thank You For Sharing Such A Good And Useful Information Here In The Blog.
    ONLINE EARNING

    ReplyDelete