Friday 6 May 2011

Khalwat......2

Bakhtiar ditangkap di rumah urut

BAKHTIAR (bukan nama sebenar) memang sukar untuk mengikis minat berkunjung ke rumah urut. Tabiah itu bermula sejak belum kahwin lagi.
Setakat ini ketagihannya yang menular hingga berkunjung ke rumah urut pada waktu malam itu masih tidak disedari oleh isterinya, Markonah (bukan nama sebenar) walaupun sudah beranak dua.
Bakhtiar pandai memberi alasan kepada isterinya yang lurus bendul kononnya ada kerja lebih masa di kilang tempat kerjanya.
Malah sejak bertemu dengan Suriati (bukan nama sebenar) janda muda yang bergetah itu sejak kunjungan pertama ke sebuah lokasi rumah urut bagai menarik-narik kakinya untuk kembali berkunjung lagi ke premis itu.
Dapat Bakhtiar rasakan lain macam layanan janda muda bertubuh montok itu yang disifatkan mempunyai jari-jemari yang begitu indah apabila mengurut badannya.
Lebih Bakhtiar tak tahan, suara Suriati itu yang lembut dan manja dengan gerakan jari-jemarinya hampir-hampir membuatkan dia menarik janda muda itu untuk melakukan adegan yang lebih hebat.
Malam ini Bakhtiar nekad mencari Suriati lagi. Pagi-pagi lagi sebelum keluar rumah dia sudah membohongi Markonah bahawa malam itu dia balik lewat kerana kerja lebih masa.
Dia bukan sahaja melumurkan badannya dengan minyak wangi yang baru dibeli. Malah duit juga dibawa lebih dari biasa kerana kali ini dia mahu Suriati melayannya lebih dari mengurut.
Hampir nak putus jantung Baktiar apabila terpandang Suriati malam itu yang berdandan dengan begitu cantik dan menyambutnya dengan senyum melebar.
Tanpa berlengah Baktiar terus membuka baju dan menggenakan tuala dan meniarap sehingga Suriati sedikit kaget apabila dia tanpa segan silu berbuat begitu.
Suriati juga sedia maklum Baktiar malam ini mahukan perkhidmatannya yang lebih daripada biasa.
Dia sengaja menggunakan kepakaran jari-jemarinya untuk ligat membuat urutan sehingga semakin menjalar lebih jauh daripada biasa membuatkan jantung Baktiar semakin berdegup kencang.
Baktiar yang semakin tidak tahan dengan godaan itu akhirnya secepat kilat mengalihkan kedudukan badannya dan dengan rakus menarik Suriati hingga rebah di atas badannya.
Tiba-tiba kedengaran pintu bilik itu diketuk dengan begitu kuat hingga membuatkan Baktiar terpaksa menarik tualanya yang sudah terburai itu untuk dipakai semula.
Memang nasib Bakhtiar malam itu malang kerana telah diserbu oleh pasukan pencegah maksiat. Ketika itu dia panik memikirkan bagaimana perasaan isterinya apabila perbuatan jahatnya selama ini sudah terbongkar.
Kisah suami yang berkunjung ke rumah urut itu memang sering berlaku dalam masyarakat hari ini memandangkan diri tidak dapat mengawal hawa nafsu.
Baru-baru ini kes seperti ini telah dibicara di Mahkamah Rendah Syariah Petaling Jaya di hadapan Hakim Wan Mahyuddin Wan Muhammad.
Mengikut fakta kes, dalam Operasi Bersepadu Bersama Majlis Bandaran Petaling Jaya (MBPJ) pada 24 Februari lalu, satu pasangan telah ditangkap berkhalwat di sebuah premis urut di Petaling Jaya.
Semasa ditahan bilik itu dalam keadaan samar dan hanya ditutup dengan kain langsir yang tidak ditutup rapat.
Ketika itu didapati seorang lelaki sedang berbaring di atas tilam dengan memakai seluar pendek paras peha tanpa baju dan perempuan sedang mengurut dengan memakai seluar panjang dan berbaju kemeja T.
Tertuduh perempuan pula seorang ibu tunggal ketika ditangkap khalwat di premis rumah urut tersebut bersama dengan seorang lelaki yang sudah berkahwin.
Setelah disoal siasat mereka didapati bukan pasangan suami isteri yang sah atau bukan mahram.
Dalam perbicaraan itu, kedua-dua tertuduh mengaku bersalah dengan sukarela dan memahami akibat pengakuan bersalah di dalam mahkamah.
Terlampau teruk
Wan Mahyuddin berkata, berdasarkan pengakuan bersalah tertuduh, fakta kes dan setelah mahkamah menimbang rayuan dan hujah pihak pendakwa syarie serta alasan-alasan ini dengan ini mahkamah mensabitkan kedua-dua tertuduh bersalah.
Keduanya didakwa mengikut Seksyen 29 (1) (a) (b) di bawah Enakmen Jenayah Syariah Selangor No. 9 tahun 1995 atas tuduhan berkhalwat yang membawa hukuman denda tidak melebihi tiga ribu ringgit atau dipenjarakan tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya jika disabit kesalahan.
Wan Mahyuddin berkata, walaupun ini kesalahan pertama kedua tertuduh, prinsip mencegah itu lebih diutamakan kerana demi kebaikan dan pengajaran kepada kedua-duanya serta masyarakat keseluruhannya tentang larangan khalwat yang salah disisi undang-undang dan hukum syarak.
"Ini juga bertujuan agar masyarakat dapat hidup dalam keadaan baik dan aman memandangkan di akhir-akhir ini gejala sosial terlampau teruk dan banyak diperkatakan,'' katanya.
Berikutan itu Wan Mahyuddin menjelaskan, berdasarkan pengakuan salah kedua tertuduh maka mahkamah menjatuhkan hukuman denda RM2,800 atau satu bulan penjara jika kedua tertuduh gagal membayar denda pada tarikh hukuman dijatuhkan.
Jelas Wan Mahyuddin, hukuman itu diharap menjadi pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat agar tidak melakukan kesalahan khalwat yang ditegah dalam Islam dan berharap tertuduh tidak mengulangi pada masa akan datang.
Katanya, sesungguhnya perbuatan khalwat dibimbangi boleh mendorong kepada penzinaan yang merosakkan zuriat dan dimurkai oleh Allah.
Mahkamah juga menasihatkan tertuduh pertama seorang ibu tunggal agar meninggalkan pekerjaannya sebagai seorang tukang urut di premis urut yang menjalankan aktiviti yang tidak bermoral dan tidak menjadi tukang urut bagi pasangan yang bukan mahramnya.
"Sebagai seorang Islam, kita disuruh mencari sumber rezeki yang halal dan pekerjaan yang halal supaya kita mendapat rezeki yang berkat yang boleh menjamin kesenangan hidup di dunia dan di akhirat agar kehidupan kita diredai oleh Allah,'' kata Wan Mahyuddin.
Manakala lelaki berkenaan juga dinasihatkan tidak lagi mengunjungi premis urut yang menjalankan aktiviti yang tidak bermoral dan yang tidak menjaga batasan aurat antara lelaki dan wanita kerana ia jelas bertentangan dengan hukum syarak.
===================

4 pasangan ditangkap khalwat


Seorang remaja lelaki cuba bersembunyi di bahagian atas siling bagi mengelak ditangkap pihak berkuasa di sebuah rumah tumpangan di Tawau, semalam.


TAWAU 19 Mac - Bersembunyi di atas siling, berpura-pura menghantar beg dan mengaku pasangan sebagai adik kandung adalah antara gelagat empat pasangan Islam yang ditangkap khalwat dalam operasi bersepadu yang diadakan di daerah ini malam tadi.
Kesemua mereka yang berusia belasan hingga 30 tahun, ditahan dalam sebuah rumah tumpangan dalam operasi melibatkan enam jabatan, diketuai oleh Majlis Perbandaran Tawau (MPT).
Lima jabatan lain adalah Jabatan Kesihatan, Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS), Jabatan Imigresen serta Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Selain empat pasangan itu, JHEAINS turut menahan seorang wanita Islam lain kerana bekerja di sebuah premis yang menjual minuman keras dan dia didakwa atas kesalahan bersubahat menjual arak.
Ketua operasi yang juga merangkap Pegawai Penguat Kuasa MPT, Azinun Sanarul berkata, dalam operasi yang sama, MPT turut memeriksa enam premis perniagaan serta mengeluarkan tiga notis amaran dan tiga kompaun.
Katanya, notis dan kompaun itu dikeluarkan kerana premis-premis terlibat melakukan kesalahan di bawah Ordinan Awam, Undang-Undang Kecil (Hotel dan Rumah Tumpangan).
"Selain itu, Imigresen turut membuat beberapa tangkapan dalam operasi ini. Sehingga ini, saya difahamkan mereka masih melakukan siasatan sebelum laporan dikemukakan kepada MPT," katanya di sini hari ini.

==================

Dua pasangan berkhalwat dicekup dalam Ops Valentine


Anggota penguat kuasa Jabatan Agama Islam Kedah menyoal seorang wanita yang masih berselimut ketika dicekup bersama pasangannya bukan muhrim di Alor Setar, semalam.


ALOR SETAR 14 Feb. - Walaupun Kedah ditadbir oleh Pas yang mendakwa memperjuangkan Islam namun kegiatan maksiat termasuk kes khalwat sempena menyambut Hari Kekasih terus berlaku di negeri ini.
Dalam Ops Valentine yang dijalankan oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah (JHEAIK) semalam, dua pasangan kekasih ditahan kerana disyaki berkhalwat di hotel murah di Kampung Berjaya dan di Jalan Putra antara pukul 1 hingga 1.30 pagi.
Pasangan pertama yang dicekup di Kampung Berjaya berusia 26 tahun dan merupakan penjawat awam manakala pasangannya berusia 25 tahun masih lagi menuntut dalam jurusan kejururawatan di sini.
Ketika diserbu pasangan tersebut mengaku telah bernikah pada 2008 namun setelah hampir setengah jam disoal siasat penipuan mereka terbongkar apabila kenyataan lelaki tersebut didapati bercanggah dengan pasangan wanitanya.
Lelaki tersebut yang berasal dari Kelantan juga mengakui dia pernah berkahwin namun telah bercerai dan sedang merancang untuk menikah dengan gadis yang bermalam dengannya di hotel murah tersebut.
Ketua penolong pegawai penguatkuasa JHEAIK, Sheikh Mohd. Sulaimi Salleh berkata, Ops Valentine itu bermula kira-kira pukul 12 tengah malam hingga 2.30 pagi.
"Pihak kami meninjau kawasan hotel-hotel murah di sekitar Kampung Berjaya, Jalan Putra dan Bukit Pinang.
"Tiada pasangan ditahan di kawasan Bukit Pinang dan pihak kami meneruskan operasi hari ini dengan meninjau hotel murah di kawasan pusat bandar pula," katanya kepada Utusan Malaysia di sini, hari ini.
Menurutnya, pasangan pertama yang ditahan itu pada mulanya enggan mengaku bahawa mereka berkhalwat namun setelah disoal siasat oleh pegawai JHEAIK akhirnya mereka mengaku belum berkahwin.
"Pasangan kedua yang ditahan di sebuah hotel murah di Jalan Putra pula berusia 39 tahun manakala pasangan wanitanya berusia 37 tahun.
"Ketika ditahan mereka sedang berdua-duaan di dalam bilik dan terus mengaku masih belum bernikah," ujarnya.
Jelasnya, pasangan-pasangan yang telah ditahan itu dibawa ke balai polis untuk tindakan lanjut dan operasi tersebut yang disertai 25 pegawai tamat sekitar pukul 2.30 pagi.

No comments:

Post a Comment