Friday 6 May 2011

Tuduhan khalwat ustazah ditarik balik

Tuduhan khalwat ustazah ditarik balik

KUALA LUMPUR 6 Jan. - Pihak pendakwa syarie hari ini menarik balik pertuduhan khalwat yang dikenakan terhadap seorang ustazah dan pasangannya, ketua jabatan di sebuah institut latihan pendidikan terkenal setelah berpuas hati mereka tidak terbabit dengan perbuatan tidak bermoral.
Jamilah Ab. Aziz, 39, dan Mohd. Dawi Ithnin, 51, yang juga seorang pensyarah bagaimanapun diberi amaran keras supaya tidak mengulangi perbuatan itu pada masa hadapan.
Pendakwa syarie, Che Saupi Che Husin memaklumkan kepada Mahkamah Tinggi Syariah di sini, pihaknya menarik balik pertuduhan itu selepas berpuas hati dengan surat representasi yang dikemukakan oleh peguam syarie, Mohd. Noor Bahari yang mewakili kedua-dua tertuduh.
Menurut Che Saupi, setelah meneliti dan menganalisis surat representasi tersebut, pihaknya berpuas hati Jamilah dan Mohd. Dawi hadir ke tempat kejadian bukan untuk melakukan perbuatan tidak bermoral.
''Kami ingin mengingatkan kedua-dua tertuduh, berdasarkan latar belakang kerjaya dan pendidikan, mereka tidak sepatutnya melakukan perbuatan tersebut,'' katanya.
Berikutan itu, Hakim Syarie, Mohamad Shakir Abdul Hamid memerintahkan kedua-dua tertuduh dilepas dan dibebaskan daripada tuduhan tersebut dan membenarkan permohonan peguam syarie supaya wang jaminan RM1,000 bagi setiap tertuduh dikembalikan.
Ketika pertama kali dihadapkan ke mahkamah pada 11 November lalu, tiada pertuduhan dibacakan terhadap tertuduh-tertuduh selepas Mohd. Noor memohon penangguhan bagi membolehkan pihak pendakwaan mempertimbangkan representasi yang dikemukakan.
Ketika ditemui pemberita di luar mahkamah, Jamilah yang merupakan ibu tunggal kepada dua orang anak mengucapkan kesyukuran bahawa kes itu telah selesai.
''Syukur Alhamdulillah, tuduhan ini digugurkan kerana saya rasa saya tidak bersalah,'' katanya.
Mohd. Dawi pula mengucapkan terima kasih kepada Kementerian Pelajaran dan institut tersebut kerana mempercayai kakitangan mereka dan bertindak secara profesional.
''Saya juga mengucapkan terima kasih kepada pihak media kerana membuat laporan untuk membersihkan nama kami semula,'' katanya.

2 comments: