Friday 6 May 2011

Tukang urut didenda RM1,500 khalwat dengan pelanggan

Tukang urut didenda RM1,500 khalwat dengan pelanggan

PETALING JAYA 19 Nov. - Seorang tukang urut wanita didenda RM1,500 atau dua bulan penjara oleh Mahkamah Rendah Syariah di sini hari ini selepas mengaku salah berkhalwat dengan pelanggannya di sebuah premis urut, April lalu.
Hakim Syarie, Ghazali Ahmad menjatuhkan hukuman tersebut ke atas Norkhamisah Gul Mohamad, 22, (gambar) yang berasal dari Taiping, Perak.
Wanita tersebut mengaku berkhalwat dengan seorang lelaki bukan beragama Islam di bilik bernombor 120, Latin Cafe & Lounge Sdn. Bhd., Hotel PJ De Inn, 4&6 Jalan 8/1E di sini pada pukul 8.45 malam, 22 April lalu.
Dia didakwa mengikut Seksyen 29(1)(a) Enakmen Jenayah Syariah Selangor yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM3,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Menurut fakta kes, ketika tangkapan dilakukan, lelaki terbabit bersembunyi di sebalik pintu manakala tertuduh yang memakai baju ketat dan skirt paras paha turut berada di bilik yang sama.
Dalam rayuannya, tertuduh menyatakan lelaki tersebut yang juga hadir bersamanya ke mahkamah, kini merupakan suaminya yang sah.
Pendakwaan dikendalikan oleh pendakwa syarie dari Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Hanip Abu Bakar.
========================

Ibu lima anak ditangkap khalwat

KAJANG 25 Okt. - Seorang ibu kepada lima anak yang baru menyambut ulang tahun perkahwinan ke-18 pada 11 Oktober lalu, ditangkap kerana disyaki berkhalwat dengan seorang lelaki di rumah sewanya di Pangsapuri Seri Camelia, Sungai Chua, di sini tengah malam tadi.
Wanita berusia 37 tahun itu yang juga seorang pengusaha pusat kecantikan ditahan bersama seorang lelaki ketika serbuan dilakukan oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) di tingkat tujuh pangsapuri berkenaan.
Ketika serbuan kira-kira pukul 12 tengah malam itu, wanita berkenaan mengambil masa hampir setengah jam untuk membuka pintu rumah dan hasil pemeriksaan tidak menemui mana-mana lelaki.
Namun curiga melihat wanita itu, petugas JAIS memasuki rumah kosong di sebelahnya melalui pintu dapur dan menemui seorang lelaki berusia 31 tahun yang sedang bersembunyi dengan memegang kasut dan topi keledar.
Malah lelaki yang bekerja di sebuah syarikat francais dan telah berkahwin serta mempunyai seorang anak sanggup menyabung nyawanya dengan melompat dari rumah wanita terbabit ke rumah kosong tersebut untuk bersembunyi.
Dalam pada itu, suami wanita terbabit yang hanya ingin dikenali sebagai Azman, 46, memanjatkan kesyukuran kepada Allah sejurus tiba di pangsapuri tersebut.
Katanya, dia bersyukur kerana teka-teki yang bermain di fikirannya berhubung kecurangan isterinya itu akhirnya telah terjawab.
''Selepas setahun memikirkan kesahihan kecurangan isteri saya, hari ini saya bersyukur kerana Allah telah memberi petunjuk kepada saya.
''Saya percaya lelaki yang ditahan itu merupakan penyebab kepada proses penceraian kami yang masih belum tamat ketika ini,'' ujarnya.
Azman yang bekerja sebagai jurutera selain turut menjadi seorang usahawan pertanian, tinggal bersama anak mereka di Bandar Baru Bangi.
Katanya, dia terkilan kerana usaha kerasnya untuk menjadikan isterinya seorang usahawan berjaya sehingga pernah menghiasi majalah tempatan suatu ketika dahulu tidak dihargai oleh wanita berkenaan.
Jelasnya, hasil pernikahannya dengan wanita itu, mereka telah dikurniakan tiga anak perempuan serta dua lelaki dan puteri sulung mereka kini sedang melanjutkan pengajian di luar negara.
Sementara itu, Pengarah JAIS, Datuk Mohammed Khusrin Munawi ketika dihubungi mengesahkan penangkapan berkenaan.
-----------------------------------

Janda, duda khalwat didenda

KANGAR 30 Sept. - Pasangan duda dan janda masing-masing didenda lebih RM3,000 oleh Mahkamah Rendah Syariah di sini selepas mengaku bersalah atas tuduhan berkhalwat di sebuah pangsapuri awal pagi semalam.
Shahfri Salleh, 45, dan Nazerina Mahmud, 33, mengaku melakukan kesalahan tersebut di sebuah rumah di Blok A, Pangsapuri Sena di sini kira-kira pukul 4.30 pagi.
Bapa kepada seorang anak itu didenda RM3,800 manakala pasangannya yang merupakan janda dua anak didenda RM3,500.
Hukuman tersebut dijatuhkan oleh Ketua Hakim Syarie, Osman Ibrahim selepas pertuduhan dikemukakan oleh pendakwa syarie, Ahmad Shukri Ibrahim.
Mengikut fakta kes, pasukan penguat kuasa Jabatan Agama Islam Perlis (JAIPs) membuat serbuan ke rumah berkenaan kerana penghuninya disyaki terlibat dalam kegiatan tidak bermoral.
Pasangan itu ditahan selepas gagal mengemukakan bukti yang mereka mempunyai hubungan yang sah.
Kedua-dua tertuduh menjelaskan denda masing-masing.

1 comment:

  1. This Is Really Great Work. Thank You For Sharing Such A Good And Useful Information Here In The Blog.
    ONLINE EARNING

    ReplyDelete