Friday, 6 May 2011

Pegawai JHEAINS didakwa rasuah

 

Pembantu Hal Ehwal Agama bebas tuduhan rasuah

PULAU PINANG 1 Nov. – Kehadiran Syawal kali ini menjadi lebih bermakna buat seorang Pembantu Hal Ehwal Agama Islam Balik Pulau di sini, Ahmadi Yahaya, apabila Mahkamah Tinggi hari ini membebaskannya daripada tuduhan menerima rasuah, tiga tahun lalu.
Hakim Datuk Abd. Rahim Uda memutuskan demikian selepas mendapati Hakim Mahkamah Sesyen gagal mempertimbangkan percakapan beramaran perayu, Ahmadi, 34, yang diberikan selepas ditahan oleh Badan Pencegah Rasuah (BPR) sewaktu membuat keputusan pada akhir perbicaraan kes tersebut.
‘‘Ia bukan satu perkara teknikal tetapi kegagalan hakim untuk mempertimbangkan percakapan amaran perayu selepas ditahan oleh BPR menampakkan satu ketidakadilan,” katanya sewaktu menyampaikan keputusannya.
Hakim Abd. Rahim turut mengarahkan supaya hukuman penjara dibatalkan manakala denda dan penalti yang telah dibayar oleh Ahmadi berjumlah RM11,000 dipulangkan semula termasuk wang jaminan.
Ahmadi dilihat menyapu mukanya sambil mengucap syukur selepas mendengar keputusan tersebut.
Perayu diwakili peguam bela, R.S.N. Rayer manakala Timbalan Pendakwa Raya, Farah Azlina Latif mewakili BPR.
Pada 1 Mac lalu, Hakim Hadriah Syed Ismail memutuskan bahawa Ahmadi didapati bersalah atas pertuduhan menerima wang suapan berjumlah RM1,000 daripada seorang lelaki yang sedang disiasat kerana disyaki melakukan khalwat bersama pasangannya sebagai dorongan agar tidak dikenakan tindakan undang-undang.
Hadriah menjatuhkan hukuman denda RM10,000 dan penjara 14 hari. Bagaimanapun, hakim itu membenarkan perlaksanaan hukuman penjara terhadap Ahmadi ditangguhkan sementara menunggu keputusan rayuannya.
Ahmadi didapati bersalah menerima suapan tersebut daripada Mohd. Fairus Ismail, kira-kira pukul 3.30 petang, 13 Disember 2004 di Jabatan Agama Islam Balik Pulau di sini.
Pertuduhan ke atasnya dibuat mengikut Seksyen 11(a) Akta Pencegahan Rasuah 1997 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 atau mana-mana satu yang lebih tinggi jika sabit kesalahan.

  Pegawai JHEAINS didakwa rasuah

TAWAU 3 Jan. – Seorang pembantu penyiasat, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) Cawangan Kota Kinabalu didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari
ini atas tuduhan menerima suapan RM2,500 bagi membantu menyelesaikan satu kes khalwat.
Tertuduh, Asmuni Ali, 36, dituduh menerima suapan itu dalam dua kejadian berasingan iaitu antara Julai hingga Ogos 2006 dan 20 Mac 2007 di Jalan Anggerik, Sabindo, Tawau.
Asmuni yang pada masa kejadian bertugas di JHEAINS Cawangan Tawau dan didakwa di bawah Seksyen 11(a) Akta Pencegahan Rasuah 1997 mengaku tidak bersalah di atas kedua-dua tuduhan tersebut.
Mengikut pertuduhan, pembantu penyiasat itu kira-kira pukul 9 malam antara Julai dan Ogos 2006 dituduh meminta suapan RM2,000 bagi membantu menyelesaikan kes khalwat yang dihadapi Mohd. Ghazali Lakode.
Sementara bagi kes kedua, Asmuni pada kira-kira pukul 7.30 malam, 20 Mac 2007 di dalam sebuah kenderaan pacuan empat roda menerima suapan RM500 daripada lelaki yang sama bagi membantu penyelesaikan kes khalwat yang dihadapinya.
Hakim Eguara Ali yang membenarkan tertuduh diikat jamin RM2,500 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin menetapkan perbicaraan mulai 25 Mac depan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Joyoe Blasius daripada Bahagian Pendakwaan, Ibu Pejabat Badan Pencegah Rasuah, Putrajaya.

Isteri orang jadi idaman suami




Isteri orang jadi idaman suami

“BILA sendirian, saya sering termenung memikirkan apalah nasib saya jadi begini, hidup saya tak pernah aman macam wanita lain. Fikiran saya sentiasa terganggu dengan sikap dan perbuatan suami saya yang amat memalukan, bukan sahaja kepada saudara-mara, ibu dan adik-beradik tetapi dengan jiran tetangga.
‘‘Dari mula kahwin sampai sekarang, suami saya sentiasa buat hal. Kini sudah 18 tahun kami berumah tangga anak pun dah ada lima. Tetapi suami saya Kamal tak pernah termimpi untuk berubah kepada kebaikan, sebaliknya terus melakukan perbuatan yang tak baik, bukan setakat menjatuhkan maruah keluarga tetapi melakukan maksiat hingga mengaibkan anak isteri,’’ demikian cerita Maizurah ketika kami bertemu minggu lalu.
Sebelum itu, Maizurah beberapa kali menghubungi penulis melalui telefon. Katanya, dia tak ada komputer apa lagi e-mel untuk meluahkan isi hatinya. Nak tulis surat tak pandai karang, jadi lebih baik ambil cuti boleh bersua muka. Apa yang penting dia boleh menceritakan isi hatinya dari A sampai Z. Itu katanya ketika kami bertemu.
Katanya, sepanjang mengikuti kisah-kisah yang dipaparkan dalam DCCK (Di celah-celah kehidupan), dia tak pernah terbaca kisah seperti suaminya. Mungkin ada tetapi mungkin sudah bercerai. Mungkin juga si suami dah bertaubat.
‘‘Berbeza dengan suami saya Kamal sejak muda sampailah sekarang tak pernah mahu berubah sentiasa suka bercinta. Biasanya bila kisahnya terbongkar, apabila orang dapat tahu termasuk saya dapat tangkap aktivitinya, dia akan minta maaf, minta ampun tak buat lagi. Kemudian baiklah dia seketika.
‘‘Tapi tak lama, lepas setahun dia buat hal lagi, siapa boleh tahan. Bila kita tanya dia tak mengaku hinggalah ada orang terjumpa dan tangkap dia lagi barulah mengaku dan minta ampun, konon dah insaf. Itulah taktik lapuk tahun demi tahun. Seingat saya bukan sekali dua, tapi lebih 10 kali dia buat hal bercinta dengan perempuan lain yang semuanya adalah isteri orang. Dia tak pilih cantik atau tidak, tua atau muda, asalkan wanita itu layan pujukannya, semua jadi.
‘‘Apa yang amat menyedihkan biasanya bila skandal mereka dah terbongkar wanita itu tentulah kena cerai. Puncanya kerana Kamal dah berjanji akan berkahwin dengan dia. Malang bagi wanita itu, bila dah kena tangkap dan bercerai-berai, Kamal tak akan kahwin dengan dia, katanya dia tak pernah berjanji nak kahwin, dia kata, masih sayangkan keluarganya dan macam-macam lagi alasannya.
‘‘Sebagai contoh ada satu kes Kamal bercinta dengan isteri orang, waktu itu Kamal masih muda, sedangkan isteri orang yang dicintainya itu lebih tua darinya. Tapi dia tetap melayan isteri orang itu. Kini setelah berusia lebih 40 tahun, isteri orang yang dicintainya ada juga yang sebaya dan ada juga lebih muda.
‘‘Saya beritahu Kamal, bercinta dengan isteri orang itu berdosa besar dengan suaminya. Tapi dia tak pernah mengaku bercinta, katanya, buat baik dengan orang salah ke? Tapi kenapa dengan perempuan aja? Lebih menyedihkan dia suka bercinta dengan saudara-mara saya sendiri. Tetapi dia nafikan. Konon nak tolong tapi mengapa dia harus mengulang rumah perempuan itu bila suaminya tak ada di rumah, dan mengajaknya keluar makan malam? Perempuan tu pula kerana cinta sanggup tinggalkan anak-anak kecil di rumah. Saya tak mahu bersubahat dengan maksiat Kamal. Saya nasihatkan dia tapi tak jalan, dia tak pernah mengaku, selalu menafikan.
‘‘Kira-kira empat tahun lalu saya sendiri tangkap dia berasmara dana dengan adik ipar saya. Mana muka saya nak letak bila adik saya bergaduh besar dengan Kamal kerana mengganggu isterinya.
‘‘Mulanya saya pun tak percaya Kamal sanggup buat kerja maksiat itu, tapi adalah seorang dua jiran nampak mereka keluar berjalan-jalan, shopping ke kompleks beli-
belah. Kamal pernah datang ke rumahnya waktu malam. Dia fikir orang tak nampak terutama di tempat orang ramai. Tapi dia silap. Bila jiran beritahu, saya pun tanya dia, macam biasalah dia menafikan, sebaliknya dia marahkan saya konon suka dengar fitnah orang yang suka tengok kami bercerai-
berai.
‘‘Saya tanya adik ipar saya secara jujur kerana dia duduk dekat rumah kami, dia pun menafikan. Saya suruh adik saya tanya pula, sebab ini bukan pertama kali Kamal bercinta dengan saudara-mara perempuan saudara-mara jauh kami.
‘‘Adik saya pula marahkan saya katanya jangan nak fitnah isterinya. Katanya, isterinya tak akan buat kerja terkutuk macam tu. Saya kata kalau tidak buat, tak apa kita cuma mahu mengingatkan supaya pisang tak berbuah dua kali.
‘‘Dalam pada itu saya terus menyiasat, walaupun sibuk dengan tugas di pejabat dan di rumah, saya masih boleh mengintip aktiviti Kamal. Sepandai-pandai tupai melompat akhirnya jatuh juga ke bumi. Setelah menjalankan intipan demi intipan rupa-
rupanya Kamal sering mengambil dia balik kerja waktu malam. Adik lelaki saya bila balik kerja terus ke rumah kami ambil anak-anak yang ditinggalkan kerana dijaga emak saya.
‘‘Dia tak perlu ambil isterinya sebab isterinya tumpang kereta kawan kerana mereka tinggal berdekatan. Tapi dia tak balik dengan kawan, Kamal yang ambil dan balik malam hari konon kerja overtime, sebenarnya mereka berasmara dana dulu, sebelum hantar dia balik di simpang jalan tak jauh dari rumah kami.
‘‘Bila adik saya kerja luar, Kamal masuk rumah ipar saya pukul 2 atau 3 pagi baru balik alasannya kerja banyak atau minum teh dengan kawan di warung 24 jam. Tapi dia tak tahu saya sudah intip aktivitinya.
‘‘Satu hari kerana tak tahan sabar, saya sendiri perangkap mereka sedang berasmara dana di dalam rumah. Kisah percintaan mereka berakhir bila masing-masing dihadapkan ke mahkamah syariah. Kamal ceraikan saya. Saya tak kisah daripada bersubahat biarlah bercerai.
‘‘Tapi belum habis idah, Kamal mula merengek, memujuk dan merayu, sambil memohon ampun dan maaf serta berjanji tidak buat lagi. Konon dah insaf, malu pada anak-
anak. Macam biasa saya percayakan janji palsunya. Kerana sebagai seorang suami dan ayah Kamal memang baik dan penyayang. Dia minta saya buka buku baru, lupakan yang lepas, apa yang penting masa depan anak-anak. Masa dia buat hal tu dia tak ingat pula anak-anak. Dan dia sanggup pulak ceraikan saya!
‘‘Tapi kerana anak-anak juga saya sanggup dirujuk semula. Lepas peristiwa itu, adik saya bawa keluarganya pindah ke tempat lain. Mungkin dia tak boleh tengok muka Kamal lagi. Adik saya juga seorang yang baik cepat memaafkan bila isterinya minta ampun. Mungkin ini pengorbanannya demi anak-anak.
‘‘Taubat Kamal bertahan setahun saja, lepas tu dia buat hal lagi kali ini dengan isteri orang di pejabatnya. Puncanya wanita ini suka mengadu hal dan nak minta nasihat tentang masalah rumah tangganya. Katanya, suaminya ada perempuan lain, dan tak bagi duit untuk makan minum anak-anak. Sekali lagi Kamal sangkut. Tapi tak lama, tak sampai setahun suami perempuan itu cepat sedar dan Kamal terpaksa memutuskan hubungan yang semakin intim itu.
‘‘Kisah terbaru awal tahun ini Kamal bercinta lagi dengan isteri orang, Joyah namanya. Joyah mengadu konon suaminya tak bertanggungjawab, tak bagi nafkah anak-anak, semua urusan rumah dia yang tanggung sendiri, nafkah zahir batin juga diabaikan. Kisah Joyah konon dapat suami tak bertanggungjawab ini satu pejabat tahu. Dia sendiri menjaja ceritanya. Di sini Kamal masuk jarum. Kebetulan waktu itu kami bertiga (Kamal, saya dan Joyah) satu pejabat tapi berlainan unit. Tetapi kemudiannya Kamal berhenti kerana kononnya dapat kerja tempat lain dengan gaji lebih baik. Namun sebenarnya dia tak suka saya tahu aktivitinya terbongkar.
‘‘Satu lagi perangai Kamal yang menyusahkan hati saya, dia suka lompat kerja. Sebab ada kalanya dia tersalah lompat, mengharapkan dapat gaji lebih baik, akhirnya syarikat gulung tikar, terpaksalah menganggur beberapa bulan sebelum dapat kerja baru. Semasa mengganggur dialah suami paling baik. Bila dapat kerja lagi, perangainya berubah.
‘‘Kes dia bercinta dengan Joyah memang teruk. Satu pejabat meletup. Saya dapat tahu dah lewat, kerana fikirkan Kamal dah baik, sementara si Joyah setahu saya mabuk bercinta dengan bosnya, bukan Islam. Rupa-rupanya suami Joyah tahu dia buat hal dengan bosnya, lepas tu dengan Kamal. Dia tambah marah dan tinggalkan rumah pertengahan tahun ini. Bila saya jumpa suami Joyah minta supaya dia nasihatkan Joyah, dia kata tak mahu campur sebab dia dah tinggalkan Joyah, mereka dalam proses perceraian.
‘‘Siapa boleh sabar bila isteri buat hal dengan orang bukan Islam kerana kejarkan kenaikan gaji dan kerja lebih senang. Satu pejabat tahu skandal mereka. Agaknya kerana malu dia pikat Kamal. Kamal yang mudah tergoda bersedia jadi pak sanggup pada bila-bila masa.
‘‘Bila saya nasihatkan Kamal supaya insaf, dia jadi lagi hot marahkan saya kerana suka dengar fitnah. Tetapi siapa boleh tutup bangkai gajah dengan nyiru. Akhirnya Kamal dan Joyah ditangkap berkhalwat di rumah sewa Joyah pada bulan Syawal baru-baru ini. Penduduk tempatan satu taman yang tangkap. Mereka dibebaskan dengan ikat jamin.
‘‘Waktu itu Joyah dalam idah. Dan mungkin kerana malu, Joyah paksa Kamal ceraikan saya supaya mereka boleh kahwin. Kamal ceraikan saya untuk kali kedua melalui SMS. Nak jadikan cerita mereka lebih teruk lagi, baru-baru ini, sekali lagi mereka kena tangkap khalwat oleh JAIS. Peristiwa itu membuatkan mereka berpindah ke tempat lain.
‘‘Baru-baru ini saya ke mahkamah syariah untuk mengesahkan kedudukan saya, tetapi kes saya tertunda sebab perceraian pertama tak selesai, walaupun dah rujuk semula, tetapi Kamal tak buat report. Kini saya terpaksa tunggu tahun depan untuk mengesahkan kedudukan saya. Tapi yang pasti selagi kes saya dan Kamal tak selesai, selagi itulah mereka tak dapat nikah. Mereka juga terpaksa menghadapi dua kes khalwat.
‘‘Sebenarnya saya malu dengan perbuatan Kamal. Cukup mengaibkan pada anak-
anak yang sudah besar khususnya perempuan. Saya bimbang keadaan ini boleh mengganggu hidup mereka bila berkahwin nanti,’’ demikian cerita Maizurah. Saya mengagumi kesabarannya.
Masih ada wanita setabah dia, menyaksikan sendiri perbuatan suami yang terkutuk dan masih boleh menerimanya semula hanya dengan meminta maaf dan ampun. Benar kata pepatah orang tua-tua ‘‘Kerak nasi kalau direndam akan lembut juga.’’ Agaknya sebab itulah si suami masih berani mempersendakan kesabarannya. Inilah balasannya apabila diri sendiri tidak ada ketegasan.
- MAIMUNAH
www.dcckmona.com
dcckmonaum@hotmail.com

Keliru istilah khalwat

Keliru istilah khalwat

Bersama: DR. AMRAN KASIMIN
SOALAN: Terminologi “khalwat” telah diselewengkan daripada definasi asal, lalu akhirnya menjadi satu istilah yang boleh dikatakan mengaibkan. Istilah ini akhirnya lebih lebih difahami daripada terma yang asal, iaitu satu keadaan menyendiri, bertafakur kerana kebesaran, kekuasaan dan kewujudan Allah Yang Maha Esa.

Saya berkeyakinan bahawa membesar-besarkan kes-kes khalwat di dada akhbar, lebih-lebih lagi yang melibatkan orang yang ternama tidak banyak menyumbang dalam usaha menyekat perbuatan berkhalwat, tetapi ia lebih merupakan seumpama memerah limau di garisan luka.
– Man, Kajang.


Jawapan: Fenomena yang berlaku sekarang ini memperkukuh apa yang saudara jelaskan di atas. Istilah “berkhalwat” atau “khalwat” yang merujuk kepada pasangan lelaki perempuan yang berada di tempat sunyi berdua-duaan, manakala maksud yang asal, tidak banyak difahami.
Perkataan “khalwat” ialah perkataan pinjaman daripada bahasa Arab “khalwah, kata nama infinitif khala, yakhlu secara literal menunjukkan mahu menyendiri. Sebagai istilah Islam, ia menunjukkan kesunyian untuk bertafakur terhadap Allah dan supaya mengingati-Nya setiap masa dengan menyebut nama Allah di dalam hati, fikiran atau secara lisan.
Di kalangan orang Melayu ia merangkumi makna lain iaitu pengasingan pasangan lelaki dan wanita yang akil baligh yang harus berkahwin di tempat yang terpencil. Pemahaman terhadap makna yang terakhir lebih difahami apa lagi sekiranya ia melibatkan pasangan lelaki perempuan yang bukan muhrim.
Amalan berkhalwat ditegah oleh Islam. Ia merupakan salah satu faktor yang menghela berlakunya perzinaan yang diistilahkan sebagai “wasitah” (perlakuan yang menyebabkan berlakunya sesuatu) menurut usul fikah.
Menurut Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri Johor (Enakmen No. 14 Tahun 1978):152. (1) Mana-mana orang Islam yang didapati bersekediaman atau bersekedudukkan atau berkurung atau bersembunyi atau bercumbu-cumbuan di mana-mana tempat yang mendatangkan syak dengan seorang yang bukan muhrimnya adalah melakukan kesalahan khalwat dan jika sabit kesalahannya boleh dihukum dengan denda tidak lebih daripada RM1,000 atau penjara tidak lebih daripada enam bulan atau kedua-duanya sekali.
(2) Barang siapa lelaki Islam yang bersekedudukkan sebagai suami isteri dengan mana-mana perempuan yang tidak harus nikah dengannya mengikut hukum syarak atau didapati bersekediaman dan bersekedudukkan yang mendatangkan syak dengan perempuan itu adalah melakukan kesalahan dan apabila sabit kesalahannya hendaklah dihukum dan hukuman yang sama seperti disebut di bawah seksyen kecil (1) seksyen ini.
(3) Mahkamah boleh memerintahkan bahawa seorang perempuan yang telah didapati bersalah atas satu kesalahan menurut seksyen ini hendaklah dihantar kepada mana-mana rumah kebajikan yang disediakan oleh kerajaan bagi tempoh tidak lebih dari enam bulan bagaimana yang difikirkan patut oleh mahkamah.
Undang-Undang Pentadbiran Agama Islam Negeri Selangor No. 3 Tahun 1952 memperuntukkan hukuman yang sama bagi mereka yang sabit melakukan kesalahan berkhalwat seperti yang diperuntukkan oleh Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri Johor. 14. Tahun 1978. Undang-Undang Pentadbiran Agama Islam Negeri Selangor 157 (1) menyebutkan:
Siapa-siapa orang Perempuan Islam bersubahat di atas kesalahan pecahan satu (1) di dalam fasal ini hendaklah diseksa dengan penjara kerja ringan tidak lebih daripada tiga bulan atau denda tiada lebih RM500 dan jika didapati di atas kesalahan kedua dan lain lagi lepas daripada itu yang serupa hendaklah di penjara tidak lebih daripada enam bulan atau didenda tidak lebih daripada RM1,000 atau kedua-dua sekali.
Kebanyakan orang Melayu, terutama pihak ibu bapa sekiranya anak-anak mereka terutamanya anak perempuan ditangkap kerana berkhalwat, dia dianggap telah memalukan seluruh keluarga terutama ibu bapanya.
Dalam kebanyakan hal si lelaki selalunya diperalatkan. Untuk memulihkan kembali kehormatan keluarga dan untuk menembus dosanya, si lelaki kadang-kadang dipaksa atau diugut jika dia menolak untuk mengahwini perempuan tadi.
Jika lelaki itu bersetuju, biasanya majlis perkahwinan akan diadakan tanpa adat dan upacara yang biasa dilakukan, kecuali bayaran mas kahwin sebelum akad nikah di majlis ini berakhir dengan kenduri yang dihadiri oleh beberapa tetamu. Menurut sesetengah pegawai yang terlibat dengan hal-hal seumpama ini, sesuatu perkahwinan hasil daripada peristiwa ini tidak digalakkan, biarpun perempuan itu hamil atas alasan tertentu iaitu:
a. Perkahwinan itu biasanya tidak kekal.
b. Untuk mengelakkan seorang bujang mengahwini gadis melalui tangkapan berkhalwat.
c. Untuk mengelakkan lelaki yang sudah berkahwin, berkahwin dengan perempuan lain melalui proses ini yang dirancangkan.
Walaupun demikian, mahkamah syariah bersedia mengahwinkan mana-mana lelaki dengan perempuan jika mereka ditangkap dan kes ini dibawa ke mahkamah asalkan syarat dan keperluan dipenuhi.
Di Semenanjung Tanah Melayu, istilah “tangkap basah” begitu popular di kalangan orang Islam walaupun peristiwa itu dikata jarang berlaku. Di setiap pejabat agama di Malaysia terdapat pegawai agama yang dinamakan Inspektor Agama atau yang seumpamanya, yang bertanggungjawab mengendalikan hal-hal yang berkaitan dengan tangkapan ini. Dengan bantuan pegawai polis dan mereka yang diberi kuasa, mereka akan menggeledah hotel, rumah urut, rumah rehat, sarang pelacuran dan rumah-rumah persendirian jika mereka menerima sebarang maklumat daripada orang awam. Istilah “tangkap basah” selalunya tidak merujuk kepada mereka yang ditangkap dengan pelacur.
Walaupun tidak ada bukti rasmi bahawa setengah-setengah orang dengan sengaja merancang untuk ditangkap dengan cara “tangkap basah”, ia boleh dilakukan oleh seorang lelaki untuk mengahwini seseorang perempuan tanpa kebenaran ibu bapa perempuan dengan cara yang sempurna, atau untuk mengelakkan daripada mengeluarkan belanja yang besar.
Ini kerana apabila pasangan itu ditangkap, kebenaran mahu atau tidak mahu diberikan. Bagi lelaki yang sudah berkahwin, ini adalah cara yang membolehkannya berkahwin lain, terutama jika persetujuan (dalam bentuk tulisan atau lisan) daripada isteri pertama diperlukan, kerana biasanya dalam hal ini, isteri pertama terpaksa memberikan kebenaran kepada suaminya berkahwin dengan perempuan lain.
Sebaliknya itu bapa perempuan itu juga membenarkan anak perempuannya itu berkahwin dengan lelaki tersebut terutama jikalau perempuan itu telah hamil. Kedua-dua belah pihak memberikan persetujuan untuk mengelakkan hilangnya kehormatan masing-masing dengan lebih lanjut, Proses poligami kadangkala terjadi cara ini.
Biarpun tidak terdapat bukti secara khusus atau terperinci, adalah dipercayai bahawa pasangan yang berkahwin, yang melibatkan pasangan perempuan yang telah hamil sebelum akad nikah dilakukan, meletakkan nama lelaki yang terlibat sebagai bapa kepada anak yang dilahirkan. Amalan ini adalah bertentangan dengan ajaran Islam. Larangan atau jalan keluar mengatasi masalah anak di luar nikah ini tidak disebut oleh mana-mana enakmen pentadbiran agama Islam di Malaysia.
Saya setuju dengan saudara bahawa membesar-besarkan peristiwa khalwat di dada akhbar bukan sesuatu yang baik atau boleh membantu masyarakat. Allah menyuruh setiap umat Islam itu menutup aurat atau keaiban saudaranya. Membesar-besarkan hal seumpama ini hakikatnya tidak menguntungkan, malah ia menyemarakkan rasa permusuhan atau rasa tidak senang hati pihak yang lain.
- PEMBACA yang ada kemusykilan alamatkanlah soalan kepada:
Dr. Amran Kasimin, Lot 3673, Jalan Aman, Kg. Sungai Merab Luar, 43000 Kajang, Selangor.

JAIM giat kursus tingkat kesedaran

JAIM giat kursus tingkat kesedaran

MELAKA Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) akan mempergiatkan program ceramah dan kursus agama terhadap pasangan Islam yang ditahan kerana melakukan kesalahan syariah.Ketua Penguatkuasa Bahagian Agama JAIM, Rahimin Bani berkata, usaha itu selain untuk memberi kesedaran kepada umat Islam yang ditahan atas kesalahan tersebut, ia juga menekankan soal kesan gejala sosial yang mungkin timbul daripada perbuatan tersebut.
Menurutnya, menerusi usaha itu, pelbagai aspek akan diberi penekanan terutama soal undang-undang syariah kepada mereka yang ditahan kerana melakukan kesalahan syariah.
''Ceramah yang diadakan tidak semata-mata bertujuan untuk memberi tekanan mental kepada umat Islam yang ditahan kerana melakukan kesalahan syariah tetapi hasrat utama JAIM ialah untuk mendidik dan mahu pesalah menginsafi kesalahan yang dilakukan," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Selain itu, penganjuran program itu ialah untuk memberi motivasi kepada peserta bagi membolehkan mereka melakukan perubahan ke arah meningkatkan status kehidupan masing- masing kelak.
Katanya, dalam program terbaru anjuran JAIM yang diadakan kelmarin, seramai 110 pasangan Islam yang ditahan dalam beberapa siri operasi khalwat yang dijalankan sepanjang Mei lalu.
Katanya, program tersebut iaitu Kesedaran dan Kefahaman Islam diadakan di pejabat JAIM di Jalan Kee Ann, di sini.
''Selain kefahaman dan motivasi, tujuan kursus itu diadakan ialah untuk memberikan kesedaran kepada para peserta mengenai hak-hak mereka semasa perbicaraan.
''Antara pengisian kursus termasuk nasihat, kaunseling serta ceramah dan Latihan Dalam Kumpulan (LDK)," katanya.
Katanya, antara kesalahan yang dilakukan oleh kebanyakan peserta kursus seperti itu ialah bersekeduduk, berjudi, hamil luar nikah dan perbuatan tidak sopan di khalayak ramai.
Pada masa yang sama, Rahimin menasihatkan remaja Islam supaya tidak melakukan perkara yang dilarang agama kerana ia akan merosakkan diri mereka sendiri.

Awasi anak elak kegiatan maksiat

Awasi anak elak kegiatan maksiat

MELAKA Ibu bapa di negeri ini disaran sentiasa mengambil sikap ingin tahu terhadap anak mereka termasuk mengetahui tempat tinggal mereka untuk mencegah mereka daripada terjebak dalam kegiatan maksiat.
Ketua Pegawai Penguat Kuasa Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM), Rahimin Bani berkata, banyak serbuan dilakukan melibatkan remaja lelaki dan perempuan bersekedudukan di hotel-hotel bajet atau di rumah bujang.
"Ada sesetengah ibu bapa yang dipanggil setelah anak mereka ditangkap dan dipercayai berkhalwat memberitahu, mereka tidak tahu di mana anak mereka tinggal.
"Ada juga kes yang pasangan kekasih bersekedudukan untuk tempoh yang lama dan tidak disedari oleh ibu bapa," katanya di sini.
Sehubungan itu, beliau berharap ibu bapa akan lebih prihatin dan memantau kegiatan seharian anak mereka.
Lebih penting katanya, ibu bapa sepatutnya meluangkan sedikit masa pada hujung minggu untuk berkunjung ke rumah sewa anak mereka bagi mengelak perkara buruk daripada berlaku.
Berdasarkan statistik tahun lalu, katanya, kes khalwat merupakan yang tertinggi dicatat iaitu sebanyak 893 kes daripada jumlah keseluruhan kesalahan syariah sebanyak 1,831 kes berbanding 687 kes dalam tempoh yang sama pada 2007.
Antara kesalahan syariah lain yang turut mencatatkan peningkatan ialah kes hamil luar nikah sebanyak 384 kes, bersubahat persetubuhan haram (256) dan judi sebanyak 202 kes.

Pelakon bebas tuduhan khalwat

Pelakon bebas tuduhan khalwat

KUALA LUMPUR 21 April - Pelakon popular, Rashdan Baba hari ini dibebaskan oleh Mahkamah Rendah Syariah, Langkawi daripada tuduhan khalwat, dua tahun lalu.
Rashdan atau nama sebenarnya Muhamad Rashdan Abdul Halim, 38, dibebaskan selepas beliau membuat pengakuan bersumpah tidak melakukan kesalahan tersebut di hadapan Hakim Syarie, Sheikh Baharuddin Che Nen.
Dia didakwa melakukan kesalahan tersebut bersama seorang rakannya yang juga pelakon popular, Hairie atau nama sebenarnya, Khairi Othman, 36, pada pukul 6.50 pagi, 9 September 2006 di bilik No. 105, Hotel Malaysia, di Langkawi.
Rashdan yang tidak diwakili peguam mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan manakala Hairie yang mengaku salah telah didenda RM900 atau penjara lima bulan.
Dua wanita, Norelia Pirdaus dan Azlina Padzill, masing-masing berusia 26 tahun yang didakwa melakukan kesalahan tersebut bersama pelakon-pelakon tersebut turut mengaku bersalah.
Mereka berdua turut didenda RM900 seorang atau penjara enam bulan.
Pendakwaan dikendalikan oleh pegawai pendakwa dari Jabatan Hal Ehwal Agama Negeri Kedah, Sheikh Zainul Mukhtar Abdullah Sirajuddin

Tuduhan khalwat ustazah ditarik balik

Tuduhan khalwat ustazah ditarik balik

KUALA LUMPUR 6 Jan. - Pihak pendakwa syarie hari ini menarik balik pertuduhan khalwat yang dikenakan terhadap seorang ustazah dan pasangannya, ketua jabatan di sebuah institut latihan pendidikan terkenal setelah berpuas hati mereka tidak terbabit dengan perbuatan tidak bermoral.
Jamilah Ab. Aziz, 39, dan Mohd. Dawi Ithnin, 51, yang juga seorang pensyarah bagaimanapun diberi amaran keras supaya tidak mengulangi perbuatan itu pada masa hadapan.
Pendakwa syarie, Che Saupi Che Husin memaklumkan kepada Mahkamah Tinggi Syariah di sini, pihaknya menarik balik pertuduhan itu selepas berpuas hati dengan surat representasi yang dikemukakan oleh peguam syarie, Mohd. Noor Bahari yang mewakili kedua-dua tertuduh.
Menurut Che Saupi, setelah meneliti dan menganalisis surat representasi tersebut, pihaknya berpuas hati Jamilah dan Mohd. Dawi hadir ke tempat kejadian bukan untuk melakukan perbuatan tidak bermoral.
''Kami ingin mengingatkan kedua-dua tertuduh, berdasarkan latar belakang kerjaya dan pendidikan, mereka tidak sepatutnya melakukan perbuatan tersebut,'' katanya.
Berikutan itu, Hakim Syarie, Mohamad Shakir Abdul Hamid memerintahkan kedua-dua tertuduh dilepas dan dibebaskan daripada tuduhan tersebut dan membenarkan permohonan peguam syarie supaya wang jaminan RM1,000 bagi setiap tertuduh dikembalikan.
Ketika pertama kali dihadapkan ke mahkamah pada 11 November lalu, tiada pertuduhan dibacakan terhadap tertuduh-tertuduh selepas Mohd. Noor memohon penangguhan bagi membolehkan pihak pendakwaan mempertimbangkan representasi yang dikemukakan.
Ketika ditemui pemberita di luar mahkamah, Jamilah yang merupakan ibu tunggal kepada dua orang anak mengucapkan kesyukuran bahawa kes itu telah selesai.
''Syukur Alhamdulillah, tuduhan ini digugurkan kerana saya rasa saya tidak bersalah,'' katanya.
Mohd. Dawi pula mengucapkan terima kasih kepada Kementerian Pelajaran dan institut tersebut kerana mempercayai kakitangan mereka dan bertindak secara profesional.
''Saya juga mengucapkan terima kasih kepada pihak media kerana membuat laporan untuk membersihkan nama kami semula,'' katanya.