Friday, 6 May 2011

Dari Khalwat ke ZINA.........

erkulai di Hari Valentine

Hari ini Ina (bukan nama sebenar) tidak sabar menunggu kekasihnya, Shahril (bukan nama sebenar) di tempat kerja. Sebagaimana yang telah dirancangkan lama dahulu, Ina berharap Shahril akan membawanya pergi makan bersama setelah lama mereka tidak keluar berdua kerana masing-masing terlalu sibuk dengan kerja.
Apatah lagi hari itu adalah malam sambutan Hari Valentine. Malam untuk mereka berdua memadu kasih dan asmara serta mengubat rindu.
Tepat pukul 7 malam, sebagaimana dijanjikan, Shahril telah terpacak di pintu pejabat Ina. Manakala Ina yang amat gembira dengan kedatangan kekasih hatinya itu sudah siap dengan pakaian baru yang agak ‘sendat’ untuk meraikan pertemuan mereka pada malam itu.
Shahril membawa Ina ke restoran yang agak tersohor di ibu kota yang telah ditempah khas untuk mereka berdua. Setelah makanan yang dipesan siap dan dihidangkan, mereka berdua makan di bawah cahaya lilin.
Pada malam itu Shahril telah menghadiahkan Ina dengan sebentuk cincin bertatahkan permata yang dibelinya beberapa hari sebelum itu.
Pada awalnya, pertemuan yang dirancang itu akan berakhir secepat mungkin kerana Shahril berjanji akan menghantar Ina pulang ke rumah setelah selesai makan malam.
Namun memandangkan malam masih ‘muda’, Shahril telah mengajak Ina berjalan-jalan ke taman.
Masa yang berlalu dengan pantas menyebabkan mereka tidak merasakan waktu telah lewat malam. Ina dan Shahril yang melabuhkan punggung masing-masing di suatu tempat yang agak tersorok daripada pandangan orang ramai mula ‘larut’ dalam suasana malam.
Tidak kesampaian
Suasana yang pada mulanya hanya diraikan dengan ucapan sayang dan berpegangan tangan akhirnya telah jauh dari batasan susila.
Ina yang lemas dalam rangkulan Shahril membiarkan apa sahaja yang diperlakukan pemuda itu semahunya ke atas tubuhnya yang semakin terdedah.
Mujur perlakuan itu tidak jauh terlanjur apabila mereka diberkas oleh pegawai pencegah maksiat yang menjalankan operasi membanteras maksiat bagi pasangan yang meraikan hari kekasih pada malam itu.
Bukan itu sahaja, rupa-rupanya terdapat beberapa pasangan lagi yang turut diberkas atas kesalahan yang sama pada malam tersebut.
Kesemua pasangan yang berkhalwat itu telah didakwa mengikut Seksyen 29 (1) A & B Enakmen Jenayah Syariah Selangor, No: 9 1995 (khalwat).
Jika disabitkan kesalahan ia boleh membawa kepada hukuman denda tidak melebihi tiga ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali.
Mereka yang ditahan ialah pasangan teruna dan dara serta duda dan janda adalah antara pasangan Islam yang telah ditangkap pada malam tersebut sehingga dihadapkan ke Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur.
Hakim Wan Mahyuddin Wan Muhammad dalam nota penghakimannya ketika menjatuhkan hukuman menasihatkan pasangan-pasangan ini supaya tidak menjadikan sambutan Hari Valentine dengan melakukan maksiat.
Katanya, populariti Hari Valentine atau Hari Kekasih pada setiap kali tanggal 14 Februari yang merupakan budaya barat kini semakin menular di negara ini.
Biarpun sambutannya memang ditunggu-tunggu oleh pasangan kekasih yang menganut agama Kristian, sayang sekali ada di kalangan orang Islam yang telah terikut-ikut dengan budaya ini.
Lebih menyedihkan kerana ada di kalangan orang Islam memilih tarikh Hari Kekasih sebagai masa yang sesuai untuk melakukan maksiat bersama pasangan masing-masing.
“Masing-masing sibuk mencari hotel dan ada yang sanggup menempah bilik hotel dengan lebih awal sebagai acara penting untuk meraikan malam Valentine dengan pasangan.
“Berikutan itu tak hairanlah apabila tibanya malam Valentine, ramai pasangan Islam yang dicekup kerana berkhalwat dengan pasangan masing-masing.
“Kenyataannya sambutan malam Hari Valentine sudah bertukar menjadi malam yang sungguh malang apabila akhirnya diri dijerat oleh hawa nafsu sendiri,’’ katanya.
Ujar Wan Mahyuddin, budaya itu yang tidak membawa kebaikan tidak sepatutnya diserapkan ke dalam kehidupan oleh umat Islam.
Tambahnya, bagi kes pertama yang disabitkan dengan seksyen berkenaan melibatkan pasangan dara dan teruna yang masing-masing berusia 31 dan 27 tahun itu,
Pasangan itu tidak menyangka sama sekali niat untuk berseronok pada malam Valentine di sebuah hotel murah akhirnya terbongkar dalam suasana yang memalukan.
“Lebih memalukan apabila kedua-duanyanya dihadapkan ke Mahkamah Syariah. Mahkamah telah menjatuhkan hukuman denda RM2,500 setiap seorang dan kedua-duanya membayar denda tersebut.
“Sebelum dijatuhkan hukuman, mereka merayu dikurangkan hukuman memandangkan akan melangsungkan perkahwinan serta berjanji tidak akan melakukan lagi perbuatan maksiat itu lagi.
“Satu lagi kes khalwat pula antara duda dan janda yang juga menggunakan kesempatan sambutan Hari Kekasih untuk berdua-dua melepaskan hawa nafsu di bilik hotel.
“Bagaimanapun perbuatan maksiat mereka itu berjaya dihidu oleh pihak berkuasa apabila ditahan atas tuduhan berkhalwat,’’ ujarnya.
Katanya, janda beranak dua dan duda yang masing-masing berusia 30 tahun itu mengaku bersalah. Malah kedua-duanya juga berjanji tidak akan melakukan perkara tersebut dan bertaubat. Pasangan ini dikenakan denda RM2,000 dan masing-masing membayar denda tersebut.
Kata Wan Mahyuddin, kisah dua pasangan ini wajar dijadikan iktibar kepada umat Islam lain supaya bukan sahaja tidak menggunakan malam Hari Valentine untuk melakukan maksiat malah tidak menurut nafsu buas sehingga terlupa bahawa telah melakukan dosa.
=====================

Khalwat: Pelantikan pendakwa dibantah

KANGAR 12 Jan. - Kes seorang isteri yang ditangkap khalwat bersama pasangan bukan Islam pada hari jadinya September 2009 akan disebut semula di Mahkamah Tinggi Syariah di sini pada 22 Februari ini.
Hakim Syarie, Azzeman Omar menetapkan tarikh tersebut selepas Harlina Harun, 33, hari ini mengemukakan bantahan terhadap pelantikan Ketua Pendakwa Syarie, Ahmad Fikri Ibrahim dan Pendakwa Syarie, Ahmad Zaini Shamsudin dalam kes tersebut.
Harlina yang diwakili oleh peguam syarie, Zulmi Sabri mengemukakan bantahan atas alasan pelantikan Ahmad Fikri adalah tidak sah berdasarkan Seksyen 58(2) dan 78(1) Enakmen Pentadbiran Agama Islam Perlis 2006.
Mahkamah juga diberitahu bahawa pelantikan Ahmad Zaini sebagai Pendakwa Syarie adalah bertentangan dengan Seksyen 78(2) enakmen tersebut dan Seksyen 183(1) Enakmen Tatacara Jenayah Syariah Perlis 2006.
Berikutan itu, dakwa Harlina, pelantikan Ahmad Zaini di bawah peruntukan 184(1) Enakmen Tatacara Jenayah Syariah Perlis 2006 adalah tidak sah dan terbatal.
Azzeman kemudian mengarahkan pihak pendakwa yang turut diwakili oleh Pendakwa Syarie, Fakhrurrazi Md. Mahdzir memfailkan jawapan balas pada 7 Februari ini sebelum Zulmi mengemukakan hujahan semula pada 22 Februari ini.
Harlina yang merupakan pegawai Imigresen yang bertugas di Sungai Petani, Kedah mengaku tidak bersalah ketika pertama kali dihadapkan ke mahkamah pada 30 September 2009.
Pegawai kerajaan itu didakwa berkurung dengan lelaki bukan muhrim, Yeoh Wei Meng, 36, antara pukul 1 pagi dan 5.30 pagi, 24 September 2009 di sebuah bilik bernombor 811 di Hotel Putra Palace.
Dakwaan terhadapnya mengikut Seksyen 9(2) Enakmen Jenayah Dalam Syarak Perlis 1991 dan jika sabit kesalahan boleh didenda RM5,000 atau tiga tahun penjara atau kedua-duanya.
Akhbar sebelum ini melaporkan kekecewaan suami tertuduh, Mohd. Shazeli Ghazali, 32, apabila isterinya itu diberkas pegawai pencegah maksiat, sedangkan pada hari yang sama dia telah pun membeli kek untuk meraikan hari jadi Harlina yang ke-31.
=================================

Aman Shah khalwat janda didenda RM3,000

PUTRAJAYA 12 Jan. - Penyanyi dan pelakon popular era 80-an, Aman Shah bersama pasangannya, janda beranak dua masing-masing didenda RM3,000 oleh Mahkamah Tinggi Syariah di sini hari ini selepas mengaku bersalah atas tuduhan berkhalwat pada Syawal tahun lalu.
Hakim Syarie, Abu Zaky Mohamad yang menjatuhkan hukuman itu turut memerintahkan Aman Shah atau nama penuhnya Aman Shah Abu Kassim, 57, dan Rohana Awang, 33, dipenjara tiga bulan sekiranya gagal menjelaskan denda.
Kedua-duanya membayar denda tersebut.
Menurut pertuduhan, Aman Shah dan Rohana didakwa berada bersama dalam keadaan yang menimbulkan syak sedang melakukan perbuatan tidak bermoral pada pukul 12.15 tengah malam, 26 September tahun lalu di sebuah apartmen kuarters kerajaan di Blok C1, Tingkat 2, Unit 5, Presint 15 Fasa 15-12B, di sini.
Aman Shah yang sudah beristeri didakwa di bawah Seksyen 27(a) Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 manakala Rohana dituduh mengikut Seksyen 27(b) akta sama.
Kedua-dua seksyen tersebut memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM3,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.
Sepanjang prosiding yang bermula pada pukul 12.10 tengah hari dan berakhir 40 minit kemudian, Aman Shah yang berkemeja putih dan bersongkok kelihatan tenang.
Rohana pula yang berkebaya rona merah gelap dan bertudung coklat, kelihatan sebak sambil menitiskan air mata.
Fakta kes menyebut, ekoran maklumat orang awam, sepasukan pegawai penguat kuasa agama diketuai oleh Mohd. Saman Idris tiba di rumah tersebut pada pukul 11.37 malam untuk membuat pemantauan.
Kira-kira seminit kemudian, mereka ternampak dua pasang kaki di dalam rumah itu dan pintu hanya dibuka oleh Aman Shah, 23 minit selepas diketuk.
Ketika itu Rohana yang memakai kemeja-T dan bertudung sedang duduk di meja makan.
Pada prosiding hari ini, Aman Shah dengan nada kesal memohon maaf kepada Allah dan mahkamah serta bertekad tidak mengulangi perbuatan itu.
''Sebenarnya ketika kejadian saya mempunyai masalah dan tidak berfikir panjang. Saya menyesal dan merayu agar tidak dipenjarakan kerana mempunyai tanggungan,'' kata penyanyi yang popular dengan lagu berjudul Adikku Pandai Menari.
Rohana juga menyesal dan merayu agar tidak dipenjarakan kerana perlu menyara anaknya dan seorang adik yang sedang belajar.
Pegawai Pendakwa Syarie, Mohd. Hafiz Idris memohon hukuman berat kerana perbuatan berkhalwat bukan sahaja melibatkan akhlak sesama manusia bahkan akhlak kepada Allah.
''Perbuatan berdua-duaan di tempat tersembunyi boleh merangsang nafsu. Sepatutnya dalam usia yang bertambah lanjut semakin menyedarkan kita bahawa kematian semakin hampir,'' kata Mohd. Hafiz.
Abu Zaky sebelum menjatuhkan hukuman sempat mengingatkan Aman Shah bahawa di penghujung usia, manusia semakin hampir dijemput menghadap Ilahi.
''Kamu kata ada masalah tetapi mengapa memilih untuk berada bersama wanita yang bukan mahram. Allah melarang perbuatan zina termasuklah zina melibatkan pancaindera. Jika tidak berilmu kita akan sesat,'' ujar Abu Zaky.
Pada 3 November tahun lalu, pasangan terbabit mengaku bersalah di hadapan Hakim Syarie Datuk Mohamad Abdullah tetapi mereka mempertikaikan fakta kes.
Mohd. Hafiz dalam prosiding hari ini sehubungan itu membacakan fakta kes yang telah dipinda kepada Aman Shah dan Rohana.
==================================

Pelajar IPTA antara ditahan khalwat

SHAH ALAM 1 Jan. - Pelajar institusi pengajian tinggi awam (IPTA) antara 140 pasangan yang ditahan kerana berkhalwat dalam operasi besar-besaran oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) di seluruh negeri ini malam tadi.
Pegawai Perhubungan Awam JAIS, Nurhamizah Othman berkata, kesemua pasangan yang ditahan di bawah Seksyen 29 Enakmen Jenayah Syariah 1995 Selangor berusia dalam lingkungan 19 hingga 30 tahun.
"Salah satu pasangan pelajar IPTA terlibat ditahan kerana bersekedudukan di sebuah hotel.
"Ada juga mereka yang ditahan didapati positif dadah setelah dijalankan ujian saringan air kencing oleh Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK).
"Kesemua mereka akan dituduh di mahkamah pada tarikh yang akan ditetapkan kelak," kata beliau dalam kenyataan di sini hari ini.
Menurut Nurhamizah, selain kes khalwat, terdapat 98 kes arahan beredar dan 43 kes yang melibatkan sesi kaunseling membabitkan golongan remaja berusia antara 13 hingga 21 tahun.
Katanya, jumlah yang diambil tindakan adalah sebanyak 263 orang dari keseluruhan operasi semalam.
Sehubungan itu kata beliau, pihaknya menasihatkan ibu bapa agar sentiasa mengambil berat tentang aktiviti anak-anak di luar rumah.
"Ini kerana didapati mereka yang diberikan kaunseling dan arahan beredar semalam menunjukkan kelakuan yang tidak sopan di khalayak umum,'' jelas beliau.
Malah katanya, ada di antara mereka yang bersikap kurang ajar dan tidak menghormati penguat kuasa dalam menjalankan tugas.
"Diharapkan ibu bapa akan sentiasa memberikan perhatian terhadap aktiviti luar anak-anak dan tidak menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk mengambil tindakan terhadap anak-anak mereka," ujarnya.
Nurhamizah memberitahu, operasi yang dijalankan secara serentak di seluruh Selangor ini disertai oleh sukarelawan JAIS, pegawai masjid, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pihak berkuasa tempatan (PBT) di setiap daerah.
Katanya, operasi yang dijalankan pada malam tahun baru itu memberikan tumpuan kepada kesalahan berkelakuan kurang sopan di tempat awam, minum arak dan berkhalwat.
"Ia melibatkan dua fasa dalam membanteras isu kemungkaran di awal tahun baru dengan fasa pertama memberi penekanan kepada kawasan-kawasan yang menjadi tumpuan terutama golongan remaja.
"Antara kawasan yang terlibat adalah taman-taman rekreasi dan kawasan-kawasan sambutan tahun baru diadakan manakala operasi fasa kedua lebih menjurus kepada hotel-hotel bajet yang terdapat di sekitar Selangor," katanya.
Operasi yang bermula pukul 11.30 malam itu berakhir pukul 4.30 pagi ini.
=====================================================

No comments:

Post a Comment