Friday 6 May 2011

Jawi sasar Putrajaya sifar maksiat

Jawi sasar Putrajaya sifar maksiat


Sasaran sifar jenayah syariah bermatlamat memasti dan merealisasikan Putrajaya sebagai Bandaraya Firdaus.


KATA orang mempertahankan apa yang dimiliki adalah lebih sukar berbanding memperolehinya. Namun, ia bukan menjadi halangan bagi Jabatan Agama Islam Wilayah (Jawi) cawangan Putrajaya.
Jawi mahu merealisasikan hasrat mengekal dan memastikan Wilayah Persekutuan Putrajaya bukan sahaja indah dan cantik dari sudut fizikal tetapi juga molek daripada sudut akhlak para penghuni dan pengunjungnya.
Maklumlah, Putrajaya yang dikelilingi oleh flora dan fauna serta pelbagai infrastruktur untuk kemudahan para pengunjung turut tidak terlepas daripada perbuatan vandalisme dan juga perlanggaran Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah Persekutuan) 1997.
Tugas mencegah kemungkaran lebih-lebih lagi maksiat ini pula amat dibenci oleh sesetengah masyarakat. Hinggakan bukan sesuatu yang rahsia, anggota penguat kuasa agama diherdik, dicaci dan dimaki.
Lebih teruk lagi, mereka turut disaman kerana melaksanakan tugas mencegah kemungkaran.
Sebenarnya, tanggungjawab mencegah kemungkaran ini bukan hanya tugas pihak berkuasa tetapi tanggungjawab kita bersama.
Ini berdasarkan sabda Nabi SAW: daripada Abu Said katanya: aku dengar Rasulullah bersabda: Siapa yang melihat (dan tahu) sebarang kemungkaran, maka hendaklah diubahkannya dengan tangannya (kuasanya), kalau tidak berkuasa, maka (ubahlah) dengan lidahnya, dan kalau tidak mampu juga, maka ubahlah dengan hatinya, dan itulah selemah-lemah iman. (riwayat Muslim).
Namun, itulah tugas dan tanggungjawab berat yang ditanggung oleh Jawi sebagai agensi agama dalam memastikan kawasan Putrajaya seluas 4,391 hektar dengan kos RM20.5 bilion itu bersih atau sifar maksiat.
Ia selaras dengan firman Allah yang bermaksud: Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi umat manusia; kerana kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang mungkar (yakni kufur) serta kamu pula beriman kepada Allah dengan benar-benar iman…(ali-Imran: 110)
Pengarah Jawi, Datuk Che Mat Che Ali berkata, untuk itu pihaknya meningkatkan keanggotaan Unit Penguat Kuasa daripada empat kepada 10 orang.
Katanya, ini dilakukan untuk memelihara keindahan dan kecantikan Putrajaya daripada sebarang perlakuan tidak berakhlak sama ada oleh penduduk setempat atau para pengunjung termasuk pelancong asing.
Beliau juga menegaskan, sebarang perlakuan tidak sopan dan tidak berakhlak akan dibendung.
Malah pada tahun 2010 ini, beliau juga akan turun padang bersama-sama petugas Jawi untuk memastikan segala perlakuan tidak sopan ini dapat dihentikan.
"Sasaran sifar jenayah syariah menerusi pemantauan dan penguatkuasaan yang berterusan menjadi matlamat utama kita dalam memastikan Putrajaya mampu direalisasikan sebagai Bandaraya Firdaus seperti yang pernah diungkapkan oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad," katanya kepada Mega, baru-baru ini.
Di bawah perkara 12.1 Seksyen 27 (khalwat) adalah menjadi kesalahan bagi:
a) Lelaki yang didapati bersama dengan seorang atau lebih daripada seorang perempuan yang bukan isteri atau mahramnya,
b) Wanita yang didapati bersama dengan seorang atau lebih daripada seorang lelaki yang bukan suami atau mahramnya,
di mana-mana tempat yang terselindung atau di dalam rumah atau bilik dalam keadaan yang boleh menimbulkan syak bahawa mereka sedang melakukan perbuatan yang tidak bermoral.
Jika disabitkan kesalahan boleh didenda maksimum RM3,000 atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya.
Di bawah perkara 12.2 Seksyen 29 (Perbuatan tidak sopan di tempat awam) sesiapa yang bertindak atau berkelakuan tidak sopan bertentangan dengan hukum syarak di mana-mana tempat awam adalah melakukan kesalahan.
Jika sabit kesalahan boleh didenda maksimum RM1,000 atau penjara maksimum enam bulan tahun atau kedua-duanya.
Menurut Che Mat, pihaknya juga mendapat kerjasama Bahagian Pengurusan Hartanah, Jabatan Perdana Menteri untuk mengeluarkan perintah mengosongkan kuarters bagi kakitangan kerajaan yang terlibat dengan kesalahan jenayah syariah.
Pada masa yang sama, beliau menyeru umat Islam sebagai majoriti daripada kira-kira 37,000 penduduk kawasan itu agar sentiasa mengimarahkan rumah-rumah Allah terutamanya Masjid Putra dan Masjid Sultan Mizan Zainal Abidin. Selain itu, terdapat 34 surau di Putrajaya.
Adalah malang, jika masjid yang indah dan dibina dengan kos yang mahal itu hanya mempunyai bilangan jemaah yang sedikit pada setiap kali solat waktu dan juga program-program kerohanian yang dijalankan.
"Saya berharap umat Islam di Putrajaya menggunakan sepenuhnya kemudahan masjid dan tempat-tempat ibadat yang disediakan oleh kerajaan. Ia bukan sahaja untuk ibadat khusus tetapi juga lokasi kegiatan kemasyarakatan untuk memupuk ukhuwah," jelasnya.
Sehubungan itu, kata Che Mat, pihaknya turut mengadakan pelbagai aktiviti bagi menarik penyertaan masyarakat Islam mendekatkan diri dengan masjid.
Antaranya, Explorace remaja dan belia di Masjid Sultan Mizan Zainal Abidin, program pemantapan akidah dan akhlak, sambutan hari-hari kebesaran dalam takwim Islam, majlis ramah mesra Tahun Baru dan Festival Dakwah.
Menyorot sejarah, dari sebuah tempat terpencil yang dikenali dengan nama Prang Besar, kawasan ini melonjak membangun dengan nama Putrajaya mulai 12 Oktober 1994.
Berbanding Kuala Lumpur, sebuah bandar tinggalan penjajah, Putrajaya dibangunkan oleh anak bangsa sendiri bercirikan budaya tempatan.
Mula dibina pada 16 April 1995, Putrajaya menggunakan aplikasi teknologi maklumat (IT). Dengan terbinanya Putrajaya, suatu hari nanti Kuala Lumpur, Putrajaya, dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) akan menjadi bandar gergasi setanding Tokyo dan Yokohama di Jepun.
Pada 10 Mei 1999, Kompleks Pejabat Perdana Menteri mula beroperasi. Putrajaya menjadi penanda aras kepada pembangunan dan pentadbiran sesebuah bandar baik di peringkat dalam negara mahupun di peringkat antarabangsa.
Menurut Che Mat, umat Islam di negara ini dan Putrajaya khususnya perlu menggunakan semua kemudahan yang disediakan oleh kerajaan dengan sebaik-baiknya sebagai tanda bersyukur atas nikmat Allah.
Ini penting kerana Allah telah berfirman yang bermaksud: Dan (ingatlah) tatkala Tuhan kamu memberitahu: "Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambah nikmatKu kepada kamu, dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azab-Ku amatlah keras". (Ibrahim: 7)

3 comments:

  1. This Is Really Great Work. Thank You For Sharing Such A Good And Useful Information Here In The Blog.
    ONLINE EARNING

    ReplyDelete